[VIDEO] PRK Ayer Kuning: Pasangan warga emas naik bas dari KL pulang mengundi

TAPAH - Pasangan warga emas mencuri tumpuan ramai apabila hadir mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok buat kali ketujuh sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Pengundi, Chai Ko Chong, 85, berkata, dia dan isteri, Loy Mooi Ying, 82, terpanggil untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing memilih wakil rakyat di DUN berkenaan.

Menurutnya, disebabkan anak mempunyai tuntutan kerja di Kuala Lumpur, dia dan Mooi Ying mengambil keputusan untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki bas.

“Saya dan isteri tak bekerja dan tinggal bersama anak-anak di Kuala Lumpur. Tetapi, mereka ada kerja dan tak dapat pulang.

“Jadi, kami berdua ambil keputusan balik kampung untuk mengundi kali ketujuh dengan menaiki bas. Kami yang tua pun boleh turun mengundi, harapnya semua orang termasuk anak muda pun begitu juga.

“Kami tinggal di kawasan sekitar sini sahaja, jadi seawal jam 7 pagi sudah bersiap dan datang ke PDM ini dengan menunggang motosikal,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Sabtu.

**media[3100736]**

Sementara itu, pekerja swasta, R Latha, 49, antara pengundi terawal yang selesai mengundi di sekolah berkenaan.

Dia bersama sahabatnya, K Khavitha, 47, bersiap seawal jam 6 pagi dan keluar rumah untuk melaksanakan kewajipan sebagai rakyat sebelum masuk kerja.

“Ini kali kedua kami mengundi, memang rasa teruja.

“Kalau wakil rakyat yang dipilih menang, saya nak tengok sama ada beliau boleh membawa agenda pendidikan. Iya lah baru-baru ini kan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) keluar.

“Ramai tak dapat kerja lepas SPM, jadi saya nak tengok anak tempatan dapat kerajaan. Selain itu, teliti juga masalah rumah yang mahal, kalau boleh turunkanlah harga rumah,” ujarnya lagi.

**media[3100735]**

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam yang mewakili BN menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.

PRK DUN Ayer Kuning melibatkan seramai 31,281 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Mohamad Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).